KUALA LUMPUR: Pemain boling padang negara, Emma Firyana Saroji mempamerkan aksi bertenaga apabila meraih dua kemenangan daripada tiga perlawanan pada hari pembukaan Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, hari ini.
Anak kelahiran Sepang, Selangor itu memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menundukkan wakil New Zealand, Katelyn Inch 2-1, sebelum tewas tipis 1-2 kepada pemain England, Katherine Rednall dalam aksi kedua kumpulan.
Bagaimanapun, atlet berusia 39 tahun itu kembali memperaga ketenangan dan ketajaman taktikal apabila menumpaskan wakil Scotland, Caroline Brown 2-0 pada perlawanan terakhir hari ini.
“Alhamdulillah, saya dapat kawal permainan dengan baik hari ini. Strategi saya mudah pastikan bola pertama dekat dengan jack.
“Kalau satu bola kena tepat, kita boleh kawal rentak permainan,” kata Emma yang juga pemenang gangsa Kejohanan Dalam Dewan Dunia.
Menurutnya, kemenangan ke atas Caroline menjadi titik kebangkitan penting selepas kekalahan kepada Rednall.
“Set kedua lawan Caroline, rezeki lebih memihak kepada saya. Apa yang dia buat, saya dapat balas balik dan dari situ momentum berubah. Syukur saya dapat menang straight set,” katanya.
Dengan dua kemenangan dan satu kekalahan, Emma kini berada pada landasan terbaik untuk mara ke suku akhir, namun masih perlu menempuh dua lagi aksi kumpulan esok menentang wakil Afrika Selatan dan Ireland.
“Belum sah lagi tempat (suku akhir), tapi peluang masih besar. Saya kena menang dua-dua esok kalau nak pastikan kedudukan dua teratas kumpulan,” jelasnya.
Mengulas cabaran gelanggang, Emma mengakui faktor permukaan antara dewan dan luar memberi kesan terhadap corak permainan.
“Main dalam dewan lebih mudah dikawal sebab permukaannya sekata. Kalau luar, bola banyak ‘sukar’ dan kita kena cepat sesuaikan diri dengan garisan serta kelajuan. Tapi sebab biasa berlatih di Malaysia, saya tak ada masalah,” ujarnya.
Sementara itu, rakan sepasukannya Nurul Alyani Jamil turut membuka langkah cemerlang apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas wakil New Zealand, Selina Goddard, sekali gus menambah keyakinan skuad negara dalam misi membawa pulang pingat.
“Kalau momentum dari acara perseorangan ni baik, insya-Allah ia akan jadi pemangkin semangat untuk aksi beregu nanti,” katanya.-UTUSAN










