‘Bersatu dulu mahu jatuhkan UMNO’

‘Bersatu dulu mahu jatuhkan UMNO’

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO berhak untuk mengulas pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti itu sebelum ini ditubuhkan bagi menyingkirkan dan menggantikan UMNO dalam arena politik tanah air.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tidak timbul soal beliau menyibuk urusan dalaman Bersatu kerana sejarah jelas menunjukkan parti tersebut pernah menjadi pencabar terbesar UMNO termasuk menumbangkan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ada orang bising kenapa saya sibuk pasal rumah tangga Bersatu. Apa masalahnya? Bersatu adalah lawan UMNO yang tumbangkan UMNO pada PRU-14 tahun 2018. Bahkan penubuhan Bersatu memang untuk membunuh dan menggantikan UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd. Puad berkata, kegagalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengukuhkan Bersatu membuktikan parti itu kini berada dalam situasi perpecahan serius.

“Tun M sudah ditendang dari Bersatu. Kini giliran Muhyiddin pula. Sudah tentu saya akan memastikan Bersatu tutup kedai,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpotensi mencabar Muhyiddin jika berlaku perebutan kuasa dalam parti itu.

“Wan Ahmad Fayhsal dedah Hamzah akan menang jika lawan Muhyiddin. Hamzah kata Wan Fayhsal belanja banyak duit untuk parti, Muhyiddin pula sukar didekati. Pokoknya Hamzah tak ada peluang untuk lawan Muhyiddin, tapi ramai Ahli Parlimen memihak kepadanya,” katanya

Menurut Mohd. Puad, sokongan Ahli Parlimen kepada Hamzah boleh memberi ruang tawar-menawar kuasa dalam kalangan pemimpin Bersatu sekali gus mencerminkan asas parti tersebut semakin longgar.

“Kembalilah kepada UMNO. Ini bukan soal gila talak. Tapi Bersatu sendiri sudah bercerai-berai,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal.

Tindakan tersebut dipercayai berhubung isu akuan bersumpah yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×