SAO PAULO: Ramalan cuaca tidak menentu di Litar Interlagos hujung minggu ini dijangka menjadi faktor penentu dalam perebutan kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini.
Ramalan awal menunjukkan hujan berpotensi melanda sepanjang Grand Prix (GP) Sao Paulo, dengan keadaan berawan dan ribut petir dijangka mengganggu sesi latihan serta kelayakan.
Litar yang sinonim dengan detik bersejarah F1 itu sering menghadirkan kejutan dan tahun lalu sesi kelayakan terpaksa ditunda ke Ahad pagi berikutan hujan lebat yang tidak berhenti.
Menurut laporan rasmi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), cuaca dijangka kering bermula hari ini dengan ribut petir dijangka melanda pada petang dan malam.
Situasi itu berisiko mengundang hujan sekitar 40 peratus serta suhu mencecah antara 25 hingga 28 darjah Celsius.
Sabtu pula diramal paling mencabar apabila hujan lebat disertai guruh boleh menjejaskan aksi pecut dan sesi kelayakan utama yang berlangsung pada sebelah pagi.
Ahad mungkin lebih baik dengan peluang hujan hanya 20 peratus, namun suhu turun mendadak sekitar 18 darjah Celsius, sesuatu yang boleh menjejaskan strategi tayar dan suhu optimum jentera.
Kondisi sedemikian dijangka memberi kelebihan kepada juara dunia empat kali, Max Verstappen yang pernah memenangi perlumbaan penuh dramatik di Sao Paulo tahun lalu selepas bangkit dari petak ke-17 dalam keadaan litar licin.
“Saya kehilangan 10 mata kepada Lando (Norris), jadi seperti saya kata sebelum ini, semuanya perlu sempurna untuk menang dan hujung minggu lalu tidak begitu,” kata Verstappen. – AGENSI










