Merungut harga mahal, tapi bazar Ramadan tetap penuh

Merungut harga mahal, tapi bazar Ramadan tetap penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Ramadan menjelma, bazar Ramadan menjadi tumpuan utama orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Aneka lauk-pauk, kuih-muih dan minuman berwarna-warni tersusun menggamit selera.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, semakin ramai pengguna mengeluh tentang harga makanan yang dikatakan semakin mahal, malah ada yang dianggap tidak masuk akal.

Ayam percik yang dahulu berharga belasan ringgit kini mencecah puluhan ringgit seekor. Air balang pula ada yang dijual pada harga hampir menyamai minuman kafe berhawa dingin. Situasi ini menimbulkan rungutan dalam kalangan pembeli yang merasakan kenaikan harga terlalu mendadak berbanding saiz hidangan yang diterima.

Walaupun ramai mengeluh, hakikatnya bazar Ramadan tetap sesak dengan pengunjung setiap petang. Persoalannya, mengapa orang ramai masih membeli walaupun harga tinggi?

Jawapannya mudah, kekangan masa dan tuntutan kerja. Tidak semua mempunyai ruang untuk memasak sendiri di rumah. Waktu kerja yang tidak menentu, pulang lewat, keletihan selepas seharian berpuasa dan mengurus keluarga membuatkan bazar menjadi pilihan paling praktikal.

Keadaan inilah yang secara tidak langsung mewujudkan situasi ‘terpaksa beli’. Peniaga pula menyedari hakikat tersebut. Selagi ada permintaan, selagi itulah jualan akan diteruskan pada harga semasa.

Tambahan pula, peniaga turut berdepan peningkatan kos bahan mentah seperti ayam, santan, sayur-sayuran dan rempah ratus. Kos sewa tapak, utiliti serta tenaga kerja juga meningkat. Semua faktor ini akhirnya dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi.

Namun, isu harga tidak wajar dilihat dari satu sudut sahaja. Pengguna juga mempunyai kuasa memilih. Jika berasa sesuatu hidangan terlalu mahal dan tidak setimpal, pembeli boleh mencari gerai lain atau memilih menu yang lebih berpatutan.

Sikap membeli tanpa berkira kadangkala menyumbang kepada trend kenaikan harga yang berterusan.

Pendekatan paling mudah sebenarnya kembali kepada asas. Jika mempunyai masa dan tenaga, memasak sendiri di rumah lebih menjimatkan dan terjamin kebersihannya.

Perancangan awal seperti menyediakan menu ringkas atau memasak dalam kuantiti lebih untuk beberapa hari boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bazar.

Namun, bagi yang benar-benar mempunyai kekangan masa, cuba cari alternatif yang lebih berpatutan seperti berkongsi pembelian dengan rakan, memilih hidangan asas sahaja atau menyokong peniaga kecil yang menawarkan harga munasabah.

Ramadan sepatutnya menjadi bulan kesederhanaan. Sama ada membeli di bazar atau memasak di rumah, yang penting ialah kebijaksanaan mengurus perbelanjaan agar tidak membebankan diri sendiri.

Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN