MANCHESTER: Manchester City menampilkan aksi cemerlang apabila menundukkan seteru utama, Liverpool 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat pengurusnya, Pep Guardiola dalam perlawanan ke-1,000 beliau sebagai jurulatih.
Tiga gol City dijaringkan oleh Erling Haaland, Nico Gonzalez dan Jeremy Doku, memastikan skuad The Citizens naik ke tangga kedua liga dengan 22 mata selepas 11 perlawanan empat mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Sementara itu, Liverpool yang merupakan juara bertahan jatuh ke tangga kelapan dengan mengumpul 18 mata.
City bermula garang sejak wisel permulaan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Haaland, yang menebus kegagalan awalnya menyempurnakan sepakan penalti apabila menanduk kemas hantaran lintang Matheus Nunes untuk gol Liga Perdana ke-99 beliau bersama kelab.
Gonzalez kemudian menggandakan kedudukan sebelum rehat apabila rembatan jauhnya terkena kaki Virgil van Dijk sebelum menewaskan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.
Separuh masa kedua menyaksikan Doku memastikan tiga mata mutlak buat tuan rumah apabila meledak dari luar kotak penalti pada minit ke-63, hasil gerakan cantik bersama Nico O’Reilly sekali gus menamatkan kemarau jaringan liga sejak Januari lalu.
Kemenangan ini juga menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan City ke atas Liverpool sejak April 2023.
Liverpool pula hampir mendapat gol saguhati apabila tandukan Virgil van Dijk pada separuh masa pertama disahkan ofsaid oleh VAR, selepas Andy Robertson dilihat berada dalam kedudukan mengganggu penjaga gol City.
Dalam perlawanan itu, City mendominasi dengan enam percubaan tepat berbanding hanya satu oleh Liverpool, menutup malam penuh bersejarah buat Guardiola dan skuad bimbingannya.-AGENSI










