Siapa kata sudah tamat - Guardiola

Siapa kata sudah tamat – Guardiola

Pemain pertahanan West Ham United, Konstantinos Mavropanos (tengah) menanduk bola masuk ke gawang dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Stadium London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Pep Guardiola yakin peluang Manchester City meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) belum tertutup meskipun pasukannya ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

City sekali lagi tercicir mata apabila mencatat keputusan seri 1-1 menentang West Ham United dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium London, semalam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Bernardo Silva pada babak pertama, namun West Ham berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil jaringan pertahanan mereka, Konstantinos Mavropanos.

Keputusan itu hadir beberapa jam selepas Arsenal mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton menerusi dua jaringan lewat permainan, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Walaupun City menghuni tangga kedua dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan, ramai pemerhati mula mempersoalkan kemampuan skuad Guardiola untuk memenangi gelaran dengan hanya lapan perlawanan berbaki musim ini.

Guardiola menegaskan, pasukannya tidak akan mengibarkan bendera putih selagi saingan belum berakhir.

“Ia belum berakhir. Siapa kata sudah tamat? Kami tidak kalah dan kami akan terus berjuang.

“Jurang sembilan mata dengan Arsenal memang besar, tetapi kami masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan akan menentang mereka di laman sendiri. Kami perlu terus mencuba sehingga ke penghujung musim,” kata Guardiola.

Guardiola dalam masa sama mengakui kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menjadi antara faktor utama prestasi pasukannya kurang konsisten musim ini, meskipun memiliki penyerang berbisa seperti Erling Haaland. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×