Bomba siap siaga hadapi ribut tropika Senyar

Bomba siap siaga hadapi ribut tropika Senyar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia menghadapi ribut tropika Senyar yang dijangka membawa hujan berterusan dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua balai bomba dan penyelamat (BBP) khususnya dari negeri yang dijangka dilanda ribut untuk bersedia pada tahap siaga yang tinggi.

“Penumpuan kepada operasi juga kita berikan, khususnya menjangkakan ada dua situasi utama iaitu banjir dan keduanya ialah kemungkinan isu berkaitan dengan pokok tumbang, tanah runtuh, dan bangunan yang terjejas memerlukan tindakan segera.

“Jadi, arahan telah kita keluarkan pada tengah hari tadi untuk keseluruhan balai dan kita berdoa supaya tidak ada perkara besar yang berlaku.

“Tetapi jika berlaku, Insya-Allah kita akan buat yang terbaik untuk tangani dengan kadar seberapa segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu media melaporkan ribut tropika Senyar dijangka membawa hujan berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang serta angin dengan kelajuan sehingga 50 kilometer per jam (km/j).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, hujan berterusan itu dijangka membawa sekitar 300 millimeter (mm) hujan sejam apabila ia memasuki Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, jalur awan yang mengelilingi mata ribut tropika berkenaan sudah mula memasuki Semenanjung ketika ini.

“Ribut Tropika Senyar dijangka membawa hujan berterusan sepanjang 24 jam akan datang selain kelajuan angin mencecah 50km/j,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN