MELAKA: Seorang bapa merayu bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak lelakinya, Hadi Aiman Khairiman, 18, yang hilang selepas keluar dari rumah awal pagi semalam.
Khairiman Khazali, 51, dari Taman Ayer Keroh Height 1 berkata, kehilangan anak ketiga daripada lima beradik itu disedari isterinya sewaktu cuba mengejutkannya untuk menunaikan solat subuh kira-kira pukul 6.15 pagi.
Menurutnya, isterinya menemui nota yang ditulis anaknya dan selepas membaca, isterinya terus memaklumkan perkara itu kepadanya.
“Anak saya keluar dari rumah tanpa membawa wang, kad pengenalan dan telefon bimbit. Saya rasa dia hanya memakai kemeja T dan seluar track kerana itulah pakaian yang biasa dipakainya,” katanya.
Khairiman yang juga seorang guru berkata, kali terakhir dia melihat anaknya kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin.
“Kami tidak tahu ke arah mana dia pergi termasuk ke rumah ibu saudaranya yang tinggal berdekatan ” ujarnya.
Katanya, dia mengesyaki anaknya mengalami tekanan dan kemurungan selepas dua kali gagal dalam ujian untuk mendapatkan lesen motosikal baru-baru ini.
“Mungkin ini antara sebab utama dia menghilangkan diri kerana anak saya ini merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) iaitu autisme tahap rendah,” ujarnya.
Katanya, dia telah membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 8.11 pagi tadi.
Sehubungan itu dia meminta orang ramai yang mengenali atau ternampak Hadi Aiman untuk menghubunginya di nombor 019-9142074. – UTUSAN








