LUMUT: Seorang ibu tetap setia menunggu kepulangan anaknya yang hilang sejak lapan bulan lalu ketika mencari siput belitung di kawasan paya bakau Pantai Remis dekat sini.
Zainap Ishak, 79, masih berharap anaknya, Yahya Harun, 55, yang hilang bersama rakannya, Azman Mat Jaab, 61, pada Julai tahun lalu akan pulang dengan selamat meskipun usaha pencarian belum membuahkan hasil.
Menurutnya, meskipun sudah sekian lama berlalu, dia tetap merindui anaknya dan sering kali termimpi-mimpikan Yahya pulang ke rumah.
“Sudah lebih lapan bulan dia hilang bersama rakannya dalam hutan paya bakau di Pantai Remis ketika mencari siput belitung. Namun, saya masih berharap dia akan pulang jua.
“Saya tidak pernah putus asa walaupun operasi mencari gagal menemukan mereka, malah kawasan tempat mereka hilang kini sudah dipenuhi semak dan belukar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchor, Pantai Remis, baru-baru ini.
Zainap berkata, menjelang Ramadan, dia semakin kuat merasakan kehadiran Yahya, seolah-olah anaknya masih berada di sisinya.
“Sebelum bulan puasa, saya ada bermimpikan Yahya. Dia seperti berada dekat dengan saya atau mungkin juga itu petanda dia akan pulang,” ujarnya sebak.
Menurutnya lagi, kehilangan Yahya memberi kesan besar kepada keluarga, terutama sepanjang bulan Ramadan kerana biasanya Yahya akan mengejutkan mereka untuk bangun sahur.
“Raya tahun ini terasa hambar. Saya tidak buat apa-apa persiapan kerana lebih memikirkan bagaimana keadaan Yahya sekarang. Baju Melayu Teluk Belanga yang dia suka pakai masih saya simpan. Kalau dia balik, saya mahu dia pakai baju itu,” katanya.
Zainap menambah, Yahya gemar menikmati pulut, lemang dan rendang ayam setiap kali menyambut Aidilfitri, namun suasana tahun ini terasa amat berbeza tanpa kehadirannya.
“Nak ziarah kubur pun dia tiada pusara. Saya tetap berharap dia akan pulang jua,” katanya penuh harapan. – UTUSAN








