ACL Elite: JDT pulang tangan kosong dari Melbourne

ACL Elite: JDT pulang tangan kosong dari Melbourne

PENYERANG JDT, Bergson da Silva dikawal ketat pemain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meneruskan momentum kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada kelab Australia, Melbourne City di Stadium Melbourne Rectangular, sebentar tadi.

Harimau Selatan hadir dengan rekod baik selepas menewaskan Shanghai Shenhua FC (3-1) dan Chengdu Rongcheng FC (2-0) sebelum ini namun dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah seawal minit ketiga hasil tandukan Max Caputo sepakan sudut daripada Takeshi Kanamori.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Xisco Munoz cuba bangkit mencari gol penyamaan dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-37, namun rembatan Bergson Da Silva di dalam kotak penalti dinafikan penjaga gol Melbourne City, Patrick Beach.

Beach terus memperagakan aksi cemerlang selepas itu apabila menyelamatkan beberapa lagi percubaan pasukan pelawat termasuk rembatan jarak jauh Oscar Arribas pada minit ke-38 dan tendangan Bergson pada minit ke-49.

Pemain gantian tuan rumah, Besian Kutleshi sepatutnya mampu mencetak nama sebagai penjaring namun dia gagal menggunakan peluang di depan pintu gol pada minit ke-73 untuk menggandakan kedudukan buat Melbourne City apabila rembatannya hanya sedikit tersasar di penjuru kanan.

Jairo Da Silva turut terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-80 apabila tampanan kurang kemasnya menyebabkan bola melantun mengenai palang gol walaupun ketika itu pintu gol Melbourne City sudah terbuka.

Sewaktu JDT mengasak kubu tuan rumah bagi memburu gol penyamaan, rembatan deras Medin Memeti pada masa kecederaan menghasilkan gol kedua buat Melbourne City.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi lima perlawanan, manakala Melbourne City menghimpun sembilan mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN