Wanita Indonesia rebah selepas dituduh merasuah penguatkuasa PBT

Wanita Indonesia rebah selepas dituduh merasuah penguatkuasa PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan merasuah seorang penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM600, Mac lalu.

Tertuduh, Mariana Umar, 50 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Wanita itu didakwa telah memberi memberi suapan wang tunai bernilai RM600 kepada seorang penguatkuasa MBIP agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dirinya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan di sebuah premis di Taman Universiti, Skudai lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, 10 Mac lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh satu perempat daripada maksimum hukuman penjara bagi kesalahan asal, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhd. Faizul Kamaro Zaman mencadangkan agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi bagaimanapun meminta wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan agar tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan. Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh sebutan semula pada 20 November bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Selesai prosiding, wanita tersebut kelihatan lemah sehingga rebah, sebelum perlu dikeluarkan dari mahkamah menggunakan kerusi roda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN