SPESIES baharu labah-labah yang menghasilkan perangkap sutera seakan-akan lastik gergasi untuk memerangkap semut, ditemukan di hutan hujan terpencil di utara Australia.
Penyelidik percaya pemangsa nokturnal itu mengembangkan kaedah unik tersebut bagi membolehkan ia memburu semut yang bersifat agresif, iaitu mangsa yang diketahui amat berbahaya dan jarang diburu oleh labah-labah.
“Perangkap itu mempunyai ‘kuasa lontaran’ yang luar biasa tinggi sehingga mampu mencampakkan semut ke dalam jaring yang lebih besar pada kadar pecutan sehingga 15 kali ganda lebih tinggi daripada daya paling ekstrem yang dialami juruterbang pesawat pejuang,” kata Ketua Penyelidik, Ajay Narendra.
Walaupun belum diberikan nama rasmi, saintis menggelarkan labah-labah kecil itu sebagai ‘ballista’, sempena senjata purba yang digunakan untuk melontarkan batu ketika peperangan.
“Mekanisme perangkap ini nampaknya berevolusi sebagai kaedah yang sangat khusus bagi membolehkan labah-labah ‘menumpaskan’ mangsa yang berpotensi berbahaya satu demi satu sebelum membawanya ke lokasi yang selamat, jauh daripada laluan dan sarang semut,” kata seorang lagi penyelidik, Jonas Wolff.
Semut mempunyai pertahanan kimia, termasuk keupayaan menyengat bagi sesetengah spesies, selain boleh memanggil sekumpulan besar semut lain dengan pantas sebagai bantuan untuk menewaskan pemangsa.
Pasukan penyelidik dari Universiti Macquarie menghabiskan 10 malam di hutan hujan tropika di utara Queensland bagi merakam tingkah laku labah-labah itu menggunakan kamera berkelajuan tinggi dan inframerah.
Berdasarkan penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology, labah-labah ballista tinggal di atas pokok yang didiami oleh semut hijau agresif yang bersifat mempertahankan wilayah, Oecophylla smaragdina.
Pada waktu siang, ia berlindung dalam jaring yang tersembunyi di bahagian bawah daun.
Apabila malam menjelma, labah-labah itu turun kira-kira 50 sentimeter ke daun, dahan atau tanah sebelum menghasilkan jaring perangkap halus seakan benang sutera.
Ia kemudian mengambil masa beberapa jam membina rangka berbentuk kon yang terdiri daripada puluhan tali tegang, sebelum membalutnya dengan lapisan yang lebih halus dan berundur ke bahagian atas.
Beberapa saat kemudian, saintis mendapati semut hijau menghampiri perangkap itu lalu menggigitnya, sekali gus mencetuskan mekanisme perangkap yang melontarkan mangsa ke dalam jaring labah-labah pada kadar pecutan yang amat tinggi.
Saintis mendapati semut hijau merupakan satu-satunya mangsa yang berjaya ditangkap labah-labah itu, walaupun mereka melepaskan spesies semut nokturnal lain berhampiran perangkap tersebut.
Pasukan saintis itu mengesyaki labah-labah berkenaan menambahkan feromon pada perangkap bagi menarik dan membangkitkan sifat agresif semut hijau tersebut.
Menurut Narendra, penemuan itu belum pernah direkodkan sebelum ini.
“Nampaknya ini satu-satunya kes di mana jaring labah-labah direka khas untuk menangkap hanya satu spesies mangsa dan mekanisme perangkap itu dicetuskan oleh mangsa sendiri, bukannya oleh labah-labah,” jelasnya.
Labah-labah yang tergolong dalam genus Propostira itu pertama kali ditemui oleh seorang penyelidik bioperubatan yang turut mengkaji serta merakam gambar labah-labah, Greg Anderson.-UTUSAN









