PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengutamakan integriti dan tadbir urus telus dalam melaksanakan amanah rakyat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya memperoleh mandat rakyat pada PRN Johor.
Katanya, kemenangan yang diraih bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh kejujuran, integriti dan rasa tanggungjawab.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat bukan partisan, MCW menghormati pilihan rakyat tanpa mengira parti politik.
“Ahli-ahli MCW sendiri terdiri daripada pelbagai latar belakang dan aliran pemikiran politik, namun disatukan oleh komitmen untuk memperjuangkan integriti, tadbir urus yang baik dan pembanterasan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua ADUN yang baharu dipilih agar menjadikan Johor sebagai model pentadbiran berintegriti yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Setiap keputusan, perbelanjaan awam, proses perolehan, pelantikan dan pemberian projek hendaklah dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.
“Johor juga mempunyai kelebihan unik sebagai negeri yang berjiran rapat dengan Singapura, yang sering diiktiraf antara negara paling bersih daripada rasuah di dunia.
“Walaupun sistem politik dan pentadbiran kedua-dua negara berbeza, disiplin, budaya pematuhan undang-undang, kecekapan perkhidmatan awam dan sikap tidak bertolak ansur terhadap rasuah merupakan amalan baik yang wajar dipelajari.
“Amalan tersebut juga perlu disesuaikan dengan konteks Malaysia bagi memperkukuh tadbir urus dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam,” katanya.
Beliau berkata, MCW berharap semua wakil rakyat yang baharu dipilih akan membuktikan bahawa politik boleh menjadi wadah khidmat kepada rakyat, bukannya jalan memperoleh keuntungan peribadi.
“Biarlah penggal ini dikenang sebagai era yang melahirkan pemimpin berwibawa, beramanah dan menjadi teladan kepada generasi akan datang.
“Rakyat telah memberikan mandat. Kini tiba masanya para pemimpin membalasnya dengan integriti,” katanya. – UTUSAN










