Kes kematian mengejut selepas menjalani aktiviti bersukan seringkali dipaparkan di media tetapi apa yang lebih menyedihkan apabila insiden ini juga menimpa kanak-kanak atau remaja.
Bagi golongan dewasa, serangan jantung sering dikaitkan menjadi punca kematian. Namun adakah kanak-kanak dan remaja juga terdedah kepada risiko serangan jantung sehingga mengakibatkan kematian mengejut?
Terbaharu, terdapat laporan mengenai dua kes remaja berusia belasan tahun yang meninggal dunia secara mengejut selepas menjalani latihan sukan di sekolah.
Pakar Kardiologi Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Zulhilmi Yaakob berkata, kematian mengejut pada usia muda ini biasanya bukan disebabkan oleh serangan jantung seperti dialami oleh orang dewasa.

“Terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh menjadi punca kematian selepas bersukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia biasanya dikaitkan dengan keadaan jantung kongenital atau masalah struktur jantung yang berlaku sejak lahir yang tidak dikesan.
“Masalah jantung boleh berlaku disebabkan genetik seperti ketebalan otot jantung (Hypertrophic cardiomyopathy) dan masalah irama jantung yang terbahagi kepada beberapa jenis,” katanya.
Katanya, masalah irama jantung yang mengancam nyawa seperti Kardiomiopati ventrikel kanan aritmogenik adalah keadaan di mana otot jantung digantikan oleh tisu parut dan lemak, yang meningkatkan risiko gangguan irama jantung.
Sindrom Long QT pula adalah gangguan elektrik jantung yang diwarisi dan boleh menyebabkan irama jantung yang berbahaya. Long QT berlaku apabila otot jantung mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk mengecas semula antara degupan.
Ini meningkatkan risiko degupan jantung tidak menentu (aritmia) yang berbahaya, yang boleh menyebabkan pitam, sawan atau jantung terhenti secara mengejut.
Kebanyakan penghidap tidak mengalami gejala tetapi antara gejala yang sering berlaku seperti pitam atau pengsan secara tiba-tiba semasa bersenam, terkejut atau mendengar bunyi kuat.
Jantung juga boleh terhenti secara mengejut disebabkan sindrom Brugada. Ia adalah penyakit genetik yang menyebabkan jantung berhenti secara mengejut, selalunya ketika tidur atau berehat.
“Tachycardia ventrikel polimorfik katekolaminergik (CPVT) pula adalah penyakit keturunan yang jarang berlaku dan boleh mencetuskan gangguan irama jantung semasa tekanan emosi atau aktiviti fizikal.
“Masalah lain seperti keabnormalan kongenital pada arteri koronari (saluran darah yang membekalkan darah ke jantung) dan keradangan otot jantung (miokarditis), contohnya selepas jangkitan virus tertentu,” terangnya.
Otak pecah
Selain jantung, kematian mengejut dalam kalangan kanak-kanak boleh disebabkan oleh penyakit otak pecah yang dikenali sebagai aneurisma otak.
“Aneurisma otak boleh menyebabkan berlaku pendarahan dan epilepsi yang teruk, termasuk kematian mengejut yang tidak dijangka akibat epilepsi (SUDEP).
“Selain itu, kematian mengejut kanak-kanak dan remaja juga boleh berlaku disebabkan masalah saluran darah Diseksi Aorta (koyakan pada dinding aorta), terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit tisu penghubung yang diwarisi,” katanya.
Dr. Zulhilmi berkata, keadaan lain yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak dan remaja, apabila berlaku darah beku yang besar di paru-paru atau dikenali sebagai embolisme pulmonari.
Selain itu, jangkitan bakteria yang teruk sehingga menyebabkan sepsis juga boleh mengancam nyawa. Sepsis adalah tindak balas ekstrem terhadap jangkitan kuman iaitu bakteria, virus atau kulat.
Apabila ini berlaku, sistem imun badan bertindak balas secara berlebihan dan melepaskan bahan kimia ke dalam aliran darah yang seterusnya merosakkan tisu dan organ.
Sepsis bermula daripada jangkitan biasa seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan saluran kencing atau luka pada kulit yang tidak dirawat dengan baik.
Tanda-tanda awal termasuklah demam panas atau suhu badan terlalu rendah, degupan jantung laju, sesak nafas dan perubahan mental seperti keliru atau mengantuk luar biasa.
Tanpa rawatan segera seperti antibiotik dan bantuan cecair intravena, ia boleh menyebabkan kegagalan pelbagai organ dan membawa maut.
“Penyebab kematian mengejut lain yang perlu diketahui adalah jangkitan pada jantung atau jangkitan virus yang menyebabkan keradangan otot jantung, penyakit pernafasan, serangan asma yang teruk dan saluran pernafasan tersumbat atau tercekik.
“Terlebih dos ubat atau keracunan termasuk opioid, bahan perangsang atau bahan lain, reaksi alahan yang teruk atau anafilaksis, strok haba atau penyakit akibat kepanasan ketika bersenam, gangguan metabolik atau penyakit genetik yang belum didiagnosis,” katanya.
Jalani pemeriksaan sebelum bersukan
Dr. Zulhilmi berkata, sekiranya terdapat gejala atau tanda amaran disebutkan, ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mula bersukan.
Walaupun ramai individu tidak menunjukkan gejala sebelum kejadian, tanda-tanda yang dialami memerlukan pemeriksaan perubatan segera iaitu, pengsan semasa atau sejurus selepas bersenam.
“Sakit dada ketika melakukan aktiviti fizikal dan sesak nafas yang tidak dapat dijelaskan semasa bersenam, jantung berdebar-debar atau denyutan jantung yang tidak teratur adalah gejala yang memerlukan pemeriksaan segera.
“Jalani juga saringan kesihatan jika mempunyai sejarah keluarga yang meninggal dunia secara mengejut tanpa sebab yang jelas sebelum umur 50 tahun, penyakit jantung keturunan atau episod pengsan yang tidak dapat dijelaskan,” katanya.
Katanya lagi, sebelum menjalani latihan sukan atau menyertai acara sukan lain yang intensif sebaiknya jalani pemeriksaan perubatan jika mengalami gejala yang membimbangkan dan menjalani elektrokardiogram (ECG) atau ekokardiogram bagi individu yang mempunyai gejala atau sejarah keluarga yang berkaitan.
Pihak sekolah juga mesti mempunyai kakitangan atau guru yang dilatih dalam bantuan asas hidup (Basic life support) atau seperti bantuan pernafasan (CPR) bagi memberi bantuan awal.
Dalam pada itu, pihak terbabit seperti sekolah atau penganjur sukan juga perlu menyediakan Automated External Defibrillator (AED) atau alat perubatan mudah alih yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa henti jantung mengejut. –UTUSAN










