KUALA LUMPUR: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan keampuhan mereka apabila mara ke separuh akhir Terbuka Perancis selepas menundukkan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di Glaz Arena, Cesson Sevigne sebentar tadi.
Dalam pertarungan sengit yang memakan masa 64 minit, pasangan No. 2 dunia itu berhempas-pulas sebelum menang 21-19, 16-21, 21-19 untuk menempah tempat ke empat terbaik.
Kemenangan itu cukup bermakna buat juara dunia 2022 berkenaan yang berjaya menebus kekalahan mereka kepada pasangan sama di Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 sebelum ini.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun perlu mengekalkan fokus apabila bakal berdepan ujian lebih getir menentang gandingan utama Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri pada separuh akhir malam ini.
Terdahulu, gandingan No. 25 dunia itu menewaskan beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King 14-21, 24-22 dalam masa 47 minit.
Aksi tersebut dijangka menjadi penentu kepada peluang mereka untuk kembali memburu kejuaraan sulung musim ini selepas terkandas di pusingan awal Terbuka Denmark minggu lalu.
Dalam saingan beregu wanita, gandingan utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah gagal menyekat juara Olimpik, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan apabila tewas 16-21, 16-21 dalam masa 39 minit. – UTUSAN









