PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah besar untuk melangkah ke final Terbuka Arctic 2025 selepas menewaskan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, di Vantaa, Finland, sebentar tadi.
Aksi separuh akhir yang berlangsung di Energia Areena itu menyaksikan pasangan ranking No. 2 dunia tersebut mencatat kemenangan meyakinkan 21-15, 21-14 dalam masa hanya 36 minit.
Kemenangan itu sekali lagi membuktikan keampuhan gandingan negara tersebut yang kini mencatat empat kemenangan berturut-turut ke atas pasangan Thailand No. 13 dunia itu.
Aaron-Wooi Yik jelas berada pada prestasi terbaik apabila mereka tidak memberi ruang kepada lawan untuk bangkit sepanjang dua set permainan.
Pasangan negara itu seterusnya akan berdepan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy, yang menempah slot final selepas menundukkan rakan senegara mereka, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, 21-16, 25-23.
Di atas kertas, beregu negara dijangka mudah untuk merebut gelaran keempat mereka musim ini selepas mendahului rekod pertemuan 6-3.
Bagi Aaron-Wooi Yik, final di Finland ini merupakan penampilan keenam mereka di final tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Selain itu, mereka turut bergelar naib juara Malaysia Masters dan Terbuka China pada musim ini. – UTUSAN