Tak pernah saya rasa sakit yang dahsyat sebegini - Nadia Brian - Utusan Malaysia

Tak pernah saya rasa sakit yang dahsyat sebegini – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Nadia Brian memaklumkan kondisi kesihatannya semakin memulih susulan jangkitan wabak Influenza A yang dihidapnya sejak Isnin lalu.

Kata Nadia, dirinya kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah selain bimbang wabak tersebut dijangkiti ahli keluarga tersayang.

“Alhamdulillah, kesihatan saya makin baik. Tetapi saya masih menjalani tempoh kuarantin di rumah.

“Namun, saya hanya duduk dalam bilik sahaja kerana bimbang wabak ini dijangkiti ahli keluarga yang lain terutamanya ibu dan nenek.

“Saya tidak pernah rasa sakit yang dahsyat sebegini. Influenza ini betul-betul perit sebab seluruh tubuh badan saya seperti tidak berfungsi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, pelakon drama Lelaki Itu tersebut memaklumkan kondisi kesihatannya kini secara tidak langsung menjejaskan beberapa tuntutan kerjanya yang sedang giat dijalankan namun, bersyukur kerana pihak produksi memahami.

“Sekarang saya masih mempunyai penggambaran yang berbaki satu hari sahaja lagi. Tetapi Alhamdulillah, semua pihak pun memahami apa yang terjadi kerana sakit ini kita tidak dapat jangka.

“Tetapi saya harap pihak produksi di Malaysia lebih prihatin terhadap mana-mana pelakon atau krew produksi yang telah dijangkiti dengan virus ini.

“Mungkin boleh ketatkan undang-undang untuk berlakon atau sebelum menjalani sesi penggambaran mesti ambil suntikan anti-influenza atau vaksin terlebih dahulu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Ini kerana kesihatan semua pihak yang terlibat dalam sesi penggambaran itu pun sangat penting dalam memastikan kelancaran proses tersebut berjaya. Semoga kita semua sentiasa dilindungi oleh Allah SWT,” kongsinya.

Sebelum ini, Nadia dalam sebuah hantaran di Threads memaklumkan dirinya dijangkiti deman Influenza A sehingga menyebabkan tekaknya berdarah berserta batuk dan selsema.

Dalam hantaran tersebut, aktres itu turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mengambil suntikan Influenza lebih awal selain menyeru orang ramai untuk lebih cakna mengenai wabak tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN