OTTAWA: Air Transat, antara syarikat penerbangan terbesar di Kanada mula menggantung beberapa penerbangan secara berperingkat bermula Isnin menjelang mogok yang dirancang juruterbangnya.
Kesatuan yang mewakili juruterbang syarikat itu mengeluarkan notis mogok 72 jam pada Ahad, mengumumkan juruterbang Air Transat akan berhenti hadir bekerja pada hari Rabu jika persetujuan kontrak tidak dicapai.
Susulan notis mogok itu, syarikat penerbangan tersebut berkata, pihaknya akan secara berperingkat menghentikan operasinya bagi mengelakkan gangguan secara tiba-tiba dan tidak dirancang.
Syarikat penerbangan itu menyifatkan notis mogok tersebut sebagai terlalu awal, manakala seorang pemimpin kesatuan berkata masih ada masa untuk mengelakkan mogok.
“Tiada juruterbang yang mahu mogok, tetapi pengurusan Air Transat tidak memberi kami pilihan.
“Bulan-bulan rundingan yang tidak membuahkan hasil berakhir sekarang. Jika kami tidak dapat mencapai persetujuan, pihak pengurusan akan bertanggungjawab ke atas setiap penerbangan yang dibatalkan dan penumpang yang terperangkap,” kata ketua kumpulan juruterbang dalam kesatuan itu, Kapten Bradley Small dalam satu kenyataan.
Menurut Kesatuan Air Line Pilots, juruterbang Air Transat berunding hampir setahun untuk menggantikan kontrak semasa mereka dari 2015 dengan kontrak baharu yang diharapkan dapat menetapkan gaji, faedah, peraturan kerja, dan keselamatan pekerjaan mengikut standard industri.
Kesatuan itu berkata, 99 peratus daripada 750 juruterbang Air Transat mengundi untuk memberi kuasa kepada kepimpinan mereka mengisytiharkan mogok.
Sebagai tindak balas, syarikat penerbangan itu yang merupakan satu daripada tiga syarikat penerbangan terbesar di Kanada menguumkan akan mula membatalkan penerbangan pada Isnin, dengan penangguhan semua penerbangan pada Selasa sebagai persiapan menghadapi kemungkinan mogok juruterbang pada hari Rabu.
Pegawai Sumber Manusia Air Transat, Julie Lamontagne dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan itu sudah berunding dengan niat baik dan menuduh kesatuan juruterbang membuat keputusan terburu-buru untuk membenarkan mogok yang tidak mencerminkan keadaan rundingan.
Syarikat penerbangan itu berkata, pembatalan penerbangan adalah perlu bagi mengelakkan kru, penumpang dan pesawat daripada terperangkap di luar negara sekiranya mogok berlaku.
Pada 2024, pengendali penerbangan Air Transat secara besar-besaran mengundi untuk meluluskan mogok selepas rundingan kontrak dengan kesatuan mereka tergendala, namun mogok itu akhirnya dapat dielakkan.-AGENSI










