Melaka laksana penggunaan alat pengesan logam di sekolah - Utusan Malaysia

Melaka laksana penggunaan alat pengesan logam di sekolah

RAHMAD Mariman ketika Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Melaka hari ini.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penggunaan alat pengesan logam akan dilaksanakan di semua sekolah di Melaka dalam usaha mengesan pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini hanya 43 daripada 80 buah sekolah menengah telah menggunakan alat pengesan logam itu.

Menurutnya, penggunaan alat tersebut juga akan diperluaskan ke sekolah rendah melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

“Penggunaan alat pengesan logam adalah antara 13 langkah yang diambil oleh kerajaan negeri sebagai usaha pengukuhan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah,

“Selain itu penambahan rondaan pasukan keselamatan kawasan berisiko serta peningkatan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Di samping itu, sekolah diperkukuh dengan latihan kesiapsiagaan kecemasan, pengaktifan pasukan Guru Penyelaras Keselamatan serta pemantapan sistem rekod dan pelaporan insiden,” katanya pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohd. Aleef Yusoh (PN-Sungai Udang) mengenai usaha memastikan sekolah menjadi kawasan selamat bagi anak-anak di negeri ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, kes jenayah yang masih berlaku dalam kalangan pelajar sekolah kerana pengaruh media sosial dan akses mudah internet mendedahkan murid kepada bahan lucah dan tingkah laku seks bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN