Silap besar jika leka dengan kesiapsiagaan pertahanan - PM

Silap besar jika leka dengan kesiapsiagaan pertahanan – PM

ANWAR Ibrahim menyantuni pengunjung selepas merasmikan Majlis Penutup PMR Negeri Melaka 2025 di Politeknik Merlimau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerajaan sentiasa mengutamakan kesiapsiagaan benteng pertahanan negara bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun rakyat kini hidup selesa, namun keamanan dan kestabilan yang dinikmati bukan menjadi alasan kesiapsiagaan keupayaan pertahanan negara diabaikan.

Menurutnya, ramai menganggap keadaan terkawal berdasarkan kehidupan selesa rakyat dalam soal ekonomi, pendidikan dan pembangunan infrastruktur, namun ia belum boleh dianggap sudah selesai.

“Tetapi bagi kita menikmati keamanan, jangan tinggalkan soal persiapan, kesiapsiagaan, disiplin dan peningkatan keupayaan pertahanan negara.

“Justeru, kelekaan dalam kesiapsiagaan pertahanan negara jika diabaikan itu adalah antara kesilapan terbesar pernah berlaku terhadap negara tertentu ketika perang dunia pertama dan kedua.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan kerana sentiasa menekankan isu ini berkaitan pertahanan negara dalam sidang jemaah menteri dan beberapa perubahan yang telah dilakukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Melaka 2025 di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Anwar berkata, sejarah peperangan, ketegangan dalam perang dunia pertama dan kedua menunjukkan banyak negara melakukan kesilapan tidak mengutamakan kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Perkara paling utama diabaikan adalah soal disiplin sehingga mengabaikan soal pertahanan dengan mengandaikan semua keadaan terkawal,” katanya.

Katanya, persoalan kebajikan anggota tentera amat diberikan perhatian utama oleh kerajaan bagi memastikan mereka menerima kediaman yang selesa.

Katanya, proses pemulihan perumahan anggota tentera memperlihatkan rekod terbaik pernah dicatatkan sebelum ini.

“Dalam beberapa lawatan yang saya hadiri dengan Menteri Pertahanan saya lihat soal perumahan, sekolah dan banyak lagi dilakukan oleh Kor Kejuruteraan sangat membanggakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN