Sarawak terima kelulusan bersyarat eksport satu gigawatt tenaga ke Singapura

Sarawak terima kelulusan bersyarat eksport satu gigawatt tenaga ke Singapura

ABANG Johari melihat pameran sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2025, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak sudah menerima kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA), Singapura untuk mengeksport satu gigawatt tenaga boleh diperbaharui ke wilayah tersebut.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu akan memasuki fasa pelaksanaan dengan rancangan membangunkan sambungan penghantaran tenaga yang selamat bagi menghubungkan grid tenaga dan pelabuhan antara Sarawak dan Singapura.

“Bagi Singapura, langkah ini akan meningkatkan keselamatan tenaga manakala bagi Sarawak, ia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2025, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata kerjasama itu berasaskan pembangunan tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang dibina melalui pembangunan hidro serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur grid negeri.

“Dengan jaringan penghantaran 275 kilovolt (kV) dan 500 kV yang telah disiapkan, tenaga bersih kini dapat disalurkan dengan lebih cekap di seluruh Sarawak.

“Inisiatif ini mengukuhkan komitmen bersama untuk membangunkan masa depan tenaga yang mampan dan saling berhubung di rantau Asia,” katanya.

Justeru, katanya Sarawak turut melaksanakan projek Grid Tenaga Borneo yang akan menghubungkan sistem tenaga antara Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat.

Katanya, sambungan rentas sempadan itu akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga di rantau ini dan menyokong pelan jangka panjang ASEAN untuk mewujudkan grid tenaga serantau.

“Grid Tenaga Borneo ini akan membolehkan tenaga boleh baharu yang dihasilkan di Sarawak disalurkan ke seluruh wilayah, seterusnya menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses di peringkat serantau,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan tersebut menunjukkan hala tuju baharu Sarawak yang bukan sahaja memfokuskan pembangunan tenaga untuk kegunaan domestik, tetapi juga sebagai pembekal tenaga bersih kepada negara jiran.

Baru-baru ini, syarikat tenaga yang menerajui pembangunan tenaga di Sarawak iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) menyatakan Projek Sambungan Grid Tenaga Sarawak–Singapura menerima kelulusan bersyarat daripada EMA Singapura, menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan tenaga serantau serta integrasi ekonomi ASEAN.

Katanya, projek berkenaan yang dibangunkan oleh Konsortium Sarawak Energy dan Sembcorp Utilities Pte Ltd, akan mengeksport kira-kira 1 gigawatt tenaga boleh diperbaharui ke Singapura, dengan penyaluran dijangka bermula sekitar tahun 2035 atau lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN