PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya dinaiki air, selain mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi.
Menurut Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), antara kawasan yang terjejas ialah Stesen Minyak BHP Jalan 222, Jalan 14/1, Terowong FAS, Kampung Chempaka, Medan Selera 223, Jalan Seroja Kampung Sungai Kayu Ara serta Lorong 16/7A.
MBPJ memaklumkan, laluan di Stesen Minyak BHP Jalan 222 yang sebelum ini dinaiki air kini telah kembali boleh digunakan selepas air surut.
“Di Terowong FAS, keadaan banjir turut dilaporkan pulih, namun dua kenderaan terjejas dan masih dalam proses pengalihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, banjir di Kampung Chempaka, Jalan Seroja Kampung Sungai Kayu Ara dan Lorong 16/7A telah surut sepenuhnya.
Jelasnya, tiada pemindahan penduduk dilaporkan berlaku, manakala kerja pembersihan dilakukan oleh pemilik kediaman masing-masing.
“Di Medan Selera 223, bantuan pengalihan kenderaan telah diberikan, dengan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.
“Pasukan elektrik juga sedang menuju ke lokasi bagi tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, MBPJ menerima aduan mengenai paras air yang mula meningkat di sebuah rumah di No. 14, Jalan 1A/71G, Jalan Carey.
“Bagaimanapun, status terkini kejadian masih belum dikemas kini.
“Selain itu, sebatang pokok tumbang di Lorong 4/49E telah berjaya dipotong dan dibersihkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN










