Lebih 225,000 murid Tabika Kemas ikuti Program Penghafazan Juzuk 30

Lebih 225,000 murid Tabika Kemas ikuti Program Penghafazan Juzuk 30

AHMAD Zahid Hamidi hadir pada Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, Jempol hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Lebih 225,000 murid Tabika Kemas di seluruh negara telah mengikuti Program Penghafazan Juzuk 30 yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu sebagai usaha menerapkan pendidikan Islam kepada kanak-kanak seawal usia prasekolah.

Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu merupakan antara pembaharuan dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebelum ini program seumpama itu tidak pernah diperkenalkan namun Kemas mengambil pendekatan memulakan pendidikan Islam sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang berakhlak.

“Jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan Islam perlu dimulakan sejak awal dan atas kesedaran itu Kemas memperkenalkan Program Penghafazan al-Quran di Tabika Kemas di seluruh negara.

“Alhamdulillah, lebih 225,000 murid Tabika Kemas telah mengikuti Program Penghafazan Juzuk 30,” katanya ketika berucap pada Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, di sini,hari ini.

Beliau berkata, Kemas turut memperkenalkan pembelajaran pintar (Smart Learning) berasaskan teknologi bagi memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, dua negeri iaitu Johor dan Pahang telah melaksanakan hampir 100 peratus rumah generasi kedua dan ketiga Felda manakala usaha sama akan diteruskan bagi memastikan kemudahan berkenaan diperluaskan ke negeri lain.

“Dua negeri yang telah melaksanakan hampir 100 peratus ialah Johor dan Pahang. Negeri Sembilan belum lagi” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan Program GEMA@KKDW memberi ruang kepada pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyampaikan perkhidmatan serta inisiatif kerajaan secara lebih tersusun dan berkesan kepada masyarakat luar bandar.

Program GEMA@KKDW Negeri Sembilan merupakan siri kedua pelaksanaannya selepas siri pertama di Kota Tinggi, Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN