PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang, sejak 11 Oktober lalu, selamat ditemukan semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, remaja terbabit ditemui di rumah rakannya di Keramat, Kuala Lumpur.
“Remaja perempuan berkenaan sudah dijumpai dalam keadaan selamat, semalam dan dia juga sudah diserahkan kepada keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, kali terakhir Qhalesya Medina Roselaine itu dilihat di Tiara Apartment, Jalan Damar SD15/6, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dilihat pada 5 petang.
Shamsudin dipetik berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pelajar tingkatan dua itu pada 4.50 petang, Selasa lalu. – UTUSAN










