Punca sebenar kematian kanak-kanak positif Influenza A masih disiasat – Dzulkefly

Punca sebenar kematian kanak-kanak positif Influenza A masih disiasat – Dzulkefly

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sarawak meskipun ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti Influenza A.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, komplikasi utama yang dialami mangsa ialah radang otak (ensefalitis), namun keadaan itu juga boleh berpunca daripada pelbagai jenis virus lain.

“Ujian makmal menunjukkan positif Influenza A, tetapi komplikasi utamanya adalah radang otak akibat ensefalitis. 

“Namun, keadaan ini juga boleh disebabkan oleh virus lain, jadi punca kematian tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan Influenza A,” katanya pada  sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) hari ini.

Beliau mengulas hantaran di media sosial yang mendakwa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Sadong Jaya, Sarawak meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1). 

Hantaran itu dipercayai dimuat naik oleh individu yang merupakan ahli keluarga mangsa dan sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan mengenai punca sebenar kematian tersebut.

Dr. Dzulkefly menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kesimpulan awal dan menunggu keputusan siasatan penuh bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan penularan wabak Influenza A, kebanyakan kes yang dilaporkan hanya menunjukkan gejala ringan dan terkawal.

“Secara keseluruhan, KKM telah mengesan 116 wabak dan 97 kluster Influenza A di seluruh negara setakat ini. Kes Influenza A ini tidak boleh dipandang ringan, namun masyarakat juga tidak perlu panik.

“Individu yang bergejala disarankan memakai penutup muka, menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan diri daripada berada di kawasan sesak. Langkah asas ini amat penting untuk melindungi diri serta orang lain,” katanya.

Menurut beliau, KKM akan terus memperkukuh pemantauan menerusi sistem pengawasan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di seluruh negara.

“KKM juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memantau situasi di sekolah serta memberi panduan tentang langkah kawalan dan pencegahan.

“Keputusan mengenai operasi sekolah bukan di bawah bidang kuasa KKM, namun kita sentiasa menyalurkan nasihat dan maklumat terkini kepada KPM berhubung tahap keseriusan kes Influenza di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN