PSM buka gelanggang untuk semua, bukan hanya bintang negara

PSM buka gelanggang untuk semua, bukan hanya bintang negara

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan memegang mock cheque dana pembinaan Akademi Sepak Takraw Malaysia .-IHSAN PSM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akademi Sepak Takraw Malaysia yang bakal beroperasi sepenuhnya Februari depan tidak akan menjadi milik eksklusif pemain kebangsaan sahaja.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menegaskan, kemudahan itu turut dibuka kepada sekolah, kelab dan pasukan negeri yang mahu menjalankan latihan intensif atau kejohanan.

Menurut beliau, hasrat utama penubuhan akademi ini ialah menjadikan Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru sebagai pusat tumpuan pembangunan akar umbi dan lokasi latihan pelbagai peringkat.

“Mana-mana sekolah atau kelab yang mahu mengadakan kem latihan seminggu atau dua minggu boleh datang ke sini. Ia terbuka untuk semua pihak, bukan hanya pemain elit kebangsaan.

“Cuma, sudah tentu ada sedikit bayaran sewa dan sebagainya, tetapi kita mahu semua orang rasa bahawa akademi ini milik bersama dunia sepak takraw,” kata Sumali selepas majlis permulaan kerja membaik pulih dan menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda di Kampung Baru, kelmarin.

Sumali berkata, konsep keterbukaan itu juga mampu menjana pendapatan bagi menampung kos penyelenggaraan selain menghidupkan suasana sukan di tengah ibu kota.

Menurutnya, akademi itu turut dilengkapi dengan gimnasium, kafe serta bakal mempunyai klinik sukan sebagai pusat rawatan dan pemulihan kecederaan atlet.

“Kita mahu jadikan tempat ini hidup setiap hari bukan sekadar bila skuad negara berlatih, tapi bila masyarakat datang menggunakan gelanggang ini.

“Kalau semuanya siap seperti dirancang, saya yakin tumpuan dunia sepak takraw akan beralih ke Kuala Lumpur apabila kompleks ini menjadi hab latihan serantau,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf yang akan meliputi pelbagai kemudahan moden bagi program pembangunan sepak takraw.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN