AMPANG: Tiada sebarang imej kehadiran harimau atau lain-lain hidupan liar yang ditemukan menerusi rakaman perangkap kamera yang dipasang di sekitar Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiga unit perangkap kamera telah dipasang semalam.
“Setakat ini belum ada imej rakaman yang menunjukkan kehadiran harimau atau mana-mana hidupan liar.
“Hasil pemeriksaan awal di lokasi juga tidak menemukan sebarang kesan fizikal seperti ngauman, najis atau tapak kaki harimau. Kesan yang dijumpai hanya hanya babi hutan yang sememangnya terdapat di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pasukan Perhilitan masih menjalankan pemantauan lapangan di kawasan pangsapuri terbabit bagi mengesahkan status kehadiran harimau.
Sebelum ini media melaporkan penduduk di kawasan itu terdengar bunyi seperti harimau di kawasan hutan belakang pangsapuri berkenaan.
Berikutan itu, operasi telah dijalankan oleh pasukan Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Selangor bermula kelmarin. – UTUSAN










