PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) kini merupakan sebuah parti politik yang sah selepas menerima kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pertukaran nama dan penggunaan identiti parti.
Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, parti itu tidak pernah melakukan sebarang perkara yang melanggar Akta Pertubuhan sepanjang proses pertukaran nama daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara.
Katanya, pertukaran nama parti itu dibuat selepas keputusan mesyuarat agung (AGM) diluluskan sebelum permohonan berkenaan dikemukakan kepada RoS.
“Wawasan adalah merupakan satu parti yang sah kepada semua rakyat Malaysia. Saya nak maklumkan parti ini adalah sebuah parti yang sah.
“Wawasan menerima surat daripada RoS bertarikh 7 Julai 2026 yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara berhubung permohonan kebenaran pindaan undang-undang baharu dan nama pertubuhan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sulung Parti Wawasan Negara, di sini hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kelulusan itu melibatkan empat perkara utama iaitu kebenaran menukar nama, kebenaran menukar alamat, kebenaran pindaan undang-undang di bawah Seksyen 11 serta kebenaran menggunakan bendera, lambang, tanda atau lencana di bawah Seksyen 50.
“Bendera, lambang, tanda atau lencana yang digunakan oleh Wawasan sebelum ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahun, namun belum mendapat pengesahan daripada RoS.
“Selama ini yang kita gunakan itu adalah sesuatu yang telah diluluskan dalam AGM. Jadi tidak salah, cuma belum mendapat pengesahan daripada RoS,” katanya. – UTUSAN









