KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana mengakui mengalami masalah tidur sejak lebih sebulan lalu dipercayai berpunca daripada jadual perjalanan yang padat, perubahan zon waktu serta tuntutan kerja tanpa rehat mencukupi.
Menurut Zizi, keadaan itu mula dirasainya selepas berulang-alik ke beberapa negara bagi menyertai misi kemanusiaan selain perlu menyelesaikan urusan kerjaya dan peribadi sebaik kembali ke tanah air.
“Sebelum pergi misi Sumud lagi, saya sudah berulang-alik ke Aceh. Badan memang penat, tetapi dalam masa yang sama saya perlu menyiapkan lagu dan menyelesaikan urusan mahkamah sebelum terus pergi ke Mesir.
“Saya rasa badan saya bekerja secara berterusan tanpa mendapat rehat yang betul, sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Apabila sampai di Mesir, saya terus memberikan tumpuan kepada tugasan di sana, mengangkat dan memindahkan barang serta pergi dari satu gudang ke gudang yang lain.
“Selepas 10 hari di Mesir, saya pergi pula ke Sepanyol selama hampir seminggu sebelum ke Itali. Apabila kembali ke Malaysia, saya hanya berada di sini kira-kira lima hari untuk menyelesaikan urusan penting sebelum kembali masuk ke studio,” katanya.
Zizi berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Lagu Yang Tinggal duet bersama Malique dan Yassin Sulaiman di Studio Qarma, di ibu negara, hari ini.
Selain itu, Zizi berkata, perubahan zon waktu yang berlaku beberapa kali dalam tempoh singkat menyebabkan tubuhnya sukar kembali menyesuaikan diri dengan waktu di Malaysia.
Malah, jadual rakaman yang berlangsung dari malam sehingga awal pagi turut menyebabkan corak tidurnya semakin tidak menentu.
“Kalau saya masuk studio, biasanya dari pukul 9 malam sehingga 5 pagi. Waktu Eropah itu seperti terbawa-bawa apabila saya pulang ke Malaysia. Ketika orang lain sedang tidur, saya pula masih cergas bekerja dan menyiapkan lagu.
“Selepas itu, saya kembali menyertai misi di Marmaris, Turkiye, selama seminggu sebelum pergi ke Istanbul. Saya rasa perjalanan yang berterusan, perubahan waktu dan badan yang tidak mendapat rehat mencukupi menyebabkan tidur saya terganggu serta mengalami jet lag yang agak teruk,” katanya.
Bagaimanapun, Zizi bersyukur masalah tidur tersebut tidak menyebabkan dirinya mengalami masalah kesihatan lain seperti migrain.
Katanya, dia mengamalkan pengambilan vitamin dan multivitamin secara konsisten sejak terlibat dalam misi kemanusiaan sebagai salah satu usaha menjaga tahap kesihatan.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami masalah kesihatan lain. Saya memang mengamalkan pengambilan multivitamin dan vitamin C secara konsisten.
“Saya mula lebih disiplin mengambil vitamin sejak pergi misi kerana saya berdoa kepada Allah supaya diberikan kesihatan dan dapat menjalankan tanggungjawab tanpa jatuh sakit. Kita berdoa, tetapi dalam masa sama perlu berusaha menjaga kesihatan.
“Cuma, masalah utama yang saya alami sekarang ialah tidur. Kalau dikira sejak saya pulang daripada misi sekitar hujung Mei, sudah lebih sebulan keadaan ini berlarutan,” katanya.
Mengulas mengenai rutin tidurnya, Zizi berkata, dia sering melakukan pelbagai aktiviti sehingga tubuh benar-benar penat dengan harapan dapat tidur lebih lama.
Namun, penyanyi berusia 41 tahun itu berkata, dia sering terjaga selepas hanya beberapa jam melelapkan mata walaupun berada dalam keadaan terlalu letih.
Zizi juga berkata, ibunya turut bimbang dengan masalah tidur yang dialaminya dan menasihatinya supaya mendapatkan rawatan sekiranya keadaan tersebut semakin serius.
“Ibu menyuruh saya berzikir dan saya memang cuba melakukannya. Tetapi akhirnya ibu sendiri berkata, kalau keadaan ini semakin teruk, saya perlu pergi ke hospital atau berjumpa doktor kerana dia bimbang dengan keadaan saya,” katanya.










