Pengendalian syarikat keselamatan sekolah akan diteliti semula

Pengendalian syarikat keselamatan sekolah akan diteliti semula

Banjir Sabah
FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem pengendalian serta pemantauan terhadap syarikat keselamatan yang beroperasi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan diteliti semula.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius kes amang seksual melibatkan pengawal keselamatan sekolah di Negeri Sembilan yang telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Kami memandang serius isu tersebut dan ia dalam tindakan ketika ini dan kita akan ambil segala pandangan itu sebagai satu penegasan baharu dan penting dalam konteks melihat kepada keseluruhan keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berkenaan spekulasi kes yang disorok di bawah karpet. 

Fadhlina berkata, kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad itu merujuk kepada kes tertentu di sekolah yang sebelum ini pernah dianggap kecil atau sementara, menyebabkan tindakan susulan ketika itu tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

“Penjelasannya adalah beliau tidak bermaksud bahawa kes-kes berkenaan disembunyikan. Tetapi apa yang beliau tegaskan adalah terdapat insiden-insiden di sekolah yang sebenarnya telah diketahui atau dimaklumkan kepada pihak berkaitan sama ada guru, pentadbir, guru kaunseling, pejabat pendidikan daerah (PPD) atau jabatan pendidikan negeri (JPN).

“Namun, pada ketika itu dianggap sebagai kes kecil ataupun tidak serius atau bersifat sementara. Akibat daripada persepsi tersebut, tindakan intervensi yang diambil mungkin bersifat ringan dan tidak menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN