JOHOR BAHRU: Seorang pengarah sebuah syarikat import eksport produk sarung tangan getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membuat satu pernyataan syarikat palsu, tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Toh Yang Seng, 51, yang juga Pengarah Syarikat GBM Glove Sdn. Bhd. membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa membenarkan seorang setiausaha yang beramal di Firma Setiausaha Syarikat, Asiapro Advisory Sdn. Bhd. membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material dalam ‘Application To Strike Off Company GBM Glove Enterprise Sdn. Bhd.’ bertarikh 21 Februari 2024.
Ia merupakan dokumen yang dikehendaki di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016 (Akta 777) berhubung satu deklarasi mengenai GBM Glove Enterprise Sdn. Bhd. iaitu ‘The company does not have any assets or liabilities including any outstanding charges in the Register of Charges kept at the office of the Registrar of the Companies’ yang mana diketahuinya adalah palsu.
Perbuatan tersebut didakwa dibuat di pejabat syarikat itu beralamat di Jalan Mutiara Emas 2/5, Taman Mount Austin di sini, antara 15 Januari 2024 hingga 21 Februari 2024.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga sepuluh tahun atau denda hingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Faizal Mahdi mencadangkan mahkamah agar OKS diberi jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
OKS yang diwakili peguam, Heng Wang Qianwei dan Au Yong Han Xing bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan OKS merupakan penanggung tunggal dalam keluarga.
Heng Wang berkata, anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan mempunyai tanggungan seorang isteri tidak bekerja serta dua anak masing-masing berusia 21 dan 17 tahun.
“Syarikat OKS sudah ditutup pada 21 Februari 2024 kerana mengalami kerugian, sejak itu OKS tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pendapatan yang diterima juga terhad. OKS telah beri kerjasama penuh kepada SSM dan tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana OKS tinggal di daerah ini,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain menetapkan tarikh 13 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN










