KOTA BHARU: Malaysia kekal dengan keputusan menyekat import lima spesies udang dari Thailand dengan kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 30 hari untuk meneliti dokumen dan maklumat yang dikemukakan pihak berkuasa negara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sepanjang tempoh itu, pasukan teknikal Jabatan Perikanan akan menilai semua dokumen bagi memastikan aspek biosekuriti serta pematuhan terhadap piawaian sanitari dan fitosanitari (SPS) dipenuhi sepenuhnya.
Katanya, sekatan yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu dikekalkan sehingga proses penilaian selesai.
“Jika maklumat yang diberikan lengkap, kita memerlukan sekurang-kurangnya 30 hari untuk menilai setiap dokumen sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pasukan teknikal dijangka bersidang minggu depan bagi penilaian seterusnya untuk mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status yang dikemukakan pihak berkuasa Thailand,” katanya selepas merasmikan Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2026 Jabatan Perikanan Malaysia di Mydin Mall, Tunjong, di sini hari ini.
Adnan berkata, langkah itu diambil bagi menstruktur semula aktiviti import udang ke Malaysia sekali gus memperkukuh kawalan biosekuriti dan memastikan setiap kemasukan udang mematuhi piawaian SPS yang ditetapkan.
Katanya, tindakan tersebut juga bertujuan memastikan udang yang diimport bebas daripada penyakit serta tidak mengandungi bahan kimia atau bahan terlarang yang bercanggah dengan peraturan negara.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia belum dibenarkan mengeksport udang tempatan ke Thailand sejak 2017.
“Kerajaan turut memperkemaskan sistem kawalan tempatan bagi memastikan udang Malaysia memenuhi syarat yang ditetapkan Thailand, termasuk bebas daripada penyakit serta bahan kimia terlarang, sekali gus membuka laluan kepada pengeksportan semula produk berkenaan ke negara jiran itu,” katanya. – UTUSAN










