Penagih dadah dituduh dera hingga mati anak teman wanita

Penagih dadah dituduh dera hingga mati anak teman wanita

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching, hari ini atas pertuduhan mendera hingga mati anak teman wanitanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Seorang penagih dadah dituduh di Mahkamah Majistret hari ini, atas satu pertuduhan kerana mendera hingga mati seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Kampung Rampangi, di sini.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berusia 32 itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera hingga mati mangsa yang merupakan anak teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Rampangi, kira-kira pukul 7.45 malam, 7 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandotori atau penjara selama tempoh 30 hingga 40 tahun sekiranya tidak dihukum mati dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Nursyaheeqa menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 November depan selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng memberitahu laporan bedah siasat belum tersedia.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah memerintahkan dia dilanjutkan reman.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu menerusi satu kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 8 Oktober lalu daripada seorang lelaki berusia 52 tahun mengenai anak rakannya telah meninggal dunia pada 7 Oktober lalu, sekitar jam 9.45 malam.

Katanya siasatan awal dipercayai mangsa telah didera hingga mati.

Susulan itu, tertuduh berjaya ditangkap di Kampung Krian, Padawan sekitar pukul 11 pagi, 9 Oktober lalu.

Tertuduh juga didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan dadah, dan semasa ditangkap turut didapati positif dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN