Pemain tempatan masih perlu dibantu

Pemain tempatan masih perlu dibantu

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontijen Malaysia Ke Temasya Sukan Remaja Asia 2025 Dan Sukan Perpaduan Islam 2025 di Menara KBS di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menyalurkan bantuan kepada pemain tempatan serta pasukan kebangsaan meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan isu tindakan disiplin melibatkan tujuh pemain warisan .

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keputusan penggantungan yang dikenakan tidak seharusnya menjejaskan pemain lain yang masih berjuang membawa nama negara, termasuk skuad Harimau Malaya yang sedang menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

“Hukuman sekarang ini terhadap tujuh pemain dan FAM. Tapi ramai sudah lupa, Harimau Malaya masih ada pemain tempatan. Seperti perlawanan menentang Laos, masih ada pemain seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan lain-lain. 

“Takkan kita tak nak bantu mereka yang masih bermain untuk Malaysia,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Temasya Sukan Remaja Asia di Bahrain.

Hannah menjelaskan, dana tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  sebelum ini adalah khusus bagi membantu skuad senior kebangsaan membuat persiapan ke Piala Asia, selain dana RM5 juta yang telah disalurkan sebelum ini.

“Dana yang diberikan kerajaan sebenarnya bukan besar. Untuk bola sepak, bajet memang besar dan FAM kena cari dana tambahan sendiri. Mereka tidak dibiayai 100 peratus oleh kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS akan menunggu keputusan rayuan penuh berhubung kes FAM sebelum memutuskan langkah susulan yang akan diambil.

“Kita kena tunggu keputusan rayuan selesai dulu sebelum umum sebarang intervensi. Masih terlalu awal untuk komen,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN