PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan prestasi konsisten apabila melepasi halangan pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense, Denmark, hari ini.
Gandingan No. 2 dunia itu tidak berdepan masalah mengetepikan wakil Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-13, 21-17 dalam masa 35 minit di Jyske Bank Arena.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu Jepun yang baru digandingkan, Arisa Igarashi-Chiharu Shida.
Thinaah ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia masih berasa agak teruja dengan kejayaan yang diukirnya bersama Pearly pada Terbuka Arctic, minggu lalu.
“Jadi, kami hanya mahu menikmati masa kami di gelanggang dan saling membantu antara satu sama lain, jika ada kesukaran yang perlu kami harungi,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ketika ditanya tentang gelanggang di Jyske Bank Arena, Pearly pula berkata, bermain di stadium tersebut tidak mudah kerana pergerakkan bulu tangkis agak perlahan.
“Jadi, kadang-kadang ia agak meletihkan seperti tahun lepas, saya rasa kami berdua sangat letih dan penat.
“Jadi untuk tahun ini, kami sudah bersedia untuk keadaan itu,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang dikejutkan juara Terbuka Arctic, Ben Lane-Sean Vendy dari England 13-21, 21-13, 14-21 dalam masa 56 minit.
Turut menerima nasib serupa, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas kepada beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 19-21, 14-21 dalam masa 44 minit.
Bagaikan penyakit berjangkit, badi kekalahan itu kemudiannya menimpa satu lagi beregu lelaki Malaysia iaitu Arif Junaidi-Yap Roy King yang tunduk di tangan, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 15-21, 19-21 dalam masa 39 minit. – UTUSAN