Kebocoran air di Louvre rosakkan ratusan karya sejarah - Utusan Malaysia

Kebocoran air di Louvre rosakkan ratusan karya sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Insiden kebocoran air pada akhir November telah merosakkan beratus karya di jabatan Mesir kuno Louvre, kata muzium Paris itu pada Ahad, beberapa minggu selepas kejadian kecurian barang kemas yang menimbulkan kebimbangan terhadap infrastruktur muzium.

“Antara 300 hingga 400 karya terjejas akibat kebocoran yang dikesan pada 26 November,” kata timbalan pentadbir muzium, Francis Steinbock yang menggambarkan karya-karya itu sebagai jurnal “Egyptologi” dan “dokumentasi saintifik” yang digunakan oleh penyelidik.

“Barang yang rosak itu berasal dari akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, dan adalah sangat berguna tetapi bukan unik.

“Tiada artifak warisan yang terjejas akibat kerosakan ini. Setakat ini, tiada kerugian yang tidak dapat dipulihkan atau kekal dalam koleksi ini,” tambah Steinbock.

Insiden ini berlaku selepas satu kecurian pada Oktober di mana sekumpulan empat orang menyerbu muzium seni paling banyak dikunjungi di dunia pada siang hari, mencuri barang kemas bernilai anggaran $102 juta (RM419 juta) dalam tempoh hanya tujuh minit sebelum melarikan diri.

Kejadian itu mencetuskan perdebatan mengenai infrastruktur muzium yang sudah uzur.

Louvre berkata, siasatan dalaman akan dijalankan berhubung kebocoran yang berpunca daripada pembukaan injap secara tidak sengaja dalam sistem pemanasan dan pengudaraan, menyebabkan air meresap melalui siling sayap Mollien, tempat buku-buku tersebut disimpan.

Sistem yang digambarkan sebagai sangat usang itu telah ditutup selama beberapa bulan dan dijadual diganti mulai September 2026, tambah pentadbir muzium itu.

“Karya-karya yang terjejas akan dikeringkan, dihantar kepada pembuat buku untuk dipulihkan dan kemudian dikembalikan ke rak,” kata Steinbock.

Pada akhir November, Louvre mengumumkan kenaikan harga tiket bagi kebanyakan pengunjung bukan Kesatuan Eropah (EU), termasuk pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Britain dan China, yang kini perlu membayar €32 (RM153) untuk masuk.

Muzium itu berkata, kenaikan harga sebanyak 45 peratus bertujuan meningkatkan hasil tahunan sehingga $23 juta (RM94.5 juta) untuk membiayai pembaikan struktur.

Louvre menerima 8.7 juta pengunjung pada 2024, 69 peratus daripadanya dari luar negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN