PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Batik Air menjalinkan kerjasama untuk melatih pelajar miskin dan B40 untuk menjadi jurutera profesional dalam industri penerbangan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buat permulaan seramai 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berdasarkan keputusan percubaan SPM 2025 daripada keluarga B40 dipilih untuk memasuki bidang profesional kejuruteraan berimpak tinggi.
Katanya, ia membabitkan kursus Computer Aided Aircraft Design (CAAD), Program Lesen Penyelenggaraan Pesawat serta bidang Avionik khususnya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih yang merupakan antara komponen teras amat kritikal kepada kelancaran dan keselamatan operasi syarikat penerbangan seperti Batik Air.
“Batik Air bersedia melatih mereka dengan kerjasama Mara dan mengambil mereka terus bekerja dengan gaji minima RM3,500.
“Jika mereka lulus Sijil profesional kejuruteraan CAAD yang diiktiraf antarabangsa selama empat tahun pengajian, mereka juga boleh mendapat gaji antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, Asyraf Wajdi menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rana Muthy bagi membincangkan kerjasama strategik antara Mara dan Batik Air untuk membangunkan pelajar miskin dan B40 untuk menjadi jurutera profesional industri penerbangan.
Asyraf Wajdi berkata, Mara akan memperluaskan usaha itu melalui institusi TVET MARA lain jika program rintis melibatkan 50 pelajar MRSM berjaya.
“Saya dimaklumkan oleh Chandran, TVET Mara mempunyai permintaan yang amat tinggi dalam industri penerbangan bukan hanya dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa jika program rintis berjaya.
“Saya yakin hanya dengan ilmu dan kemahiran tinggi sahaja boleh merubah nasib anak-anak bangsa yang datang dari latar keluarga berpendapatan rendah dan miskin. Mara komited untuk membantu anak-anak B40 dan miskin bagi merubah kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN










