PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus terhadap penubuhan Arkib Diraja khususnya arkib Yang di-Pertuan Agong sebelum diperluas ke peringkat negeri menerusi peruntukan Belanjawan 2026.
Tokoh Bahasa dan Persuratan Negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata, langkah tersebut penting sebagai usaha pemuliharaan warisan negara dalam memastikan dokumen serta artifak berkaitan institusi diraja dapat disatukan di bawah Akta Arkib Negara Malaysia.
“Sistem pemerintahan negara kita ialah pemerintahan Raja Berperlembagaan. Banyak dokumen dan artifak yang berkaitan tersebar di sana sini untuk disatukan di bawah Akta Arkib Negara Malaysia,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, kajian dan penerbitan daripada kewujudan puluhan ribu manuskrip Melayu lama perlu dijadikan agenda negara dengan peruntukan mencukupi di bawah cadangan tiga program utama.
Katanya, tiga program tersebut ialah program pelatihan penyelidik muda manuskrip Melayu lama terutama penguasaan Jawi klasik, program kajian manuskrip Melayu lama dengan berasaskan kaedah filologi yang meliputi ilmu watan dalam bidang keagamaan, ketatanegaraan, historiografi, undang-undang, perubatan, teknologi dan susastera.
“Selain itu, perlu diwujudkan program penerbitan pelbagai bentuk terbitan bercetak dan elektronik daripada manuskrip Melayu lama. Status yang ada kini memperlihatkan rentak yang amat perlahan dengan sekitar 200 terbitan daripada manuskrip Melayu lama berbanding dengan lebih 20,000 teks yang ada.
“Justeru kerajaan disaran memperuntukkan dana khas bagi memastikan ilmu watan yang terkandung dalam manuskrip lama dapat digali, difahami dan dimanfaatkan oleh generasi baharu,” ujarnya.- UTUSAN










