PETALING JAYA: Juara bertahan, PDRM terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis 26-25 ke atas Kelantan dalam aksi mendebarkan peringkat kumpulan A kejohanan ragbi Piala Agong 2025.
PDRM yang ketinggalan 13-22 pada separuh masa pertama, bangkit dengan penuh disiplin dan pengalaman untuk menutup perlawanan dengan kemenangan tipis sekali gus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A.
Kelantan kendalian Syed Shazril biarpun tewas, tetap menunjukkan semangat juang luar biasa dan berhak mara ke suku akhir sebagai pasukan tempat ketiga kumpulan sama.
Sementara itu, di UPNM Kem Sungai Besi, Terengganu mengesahkan status selaku naib juara Kumpulan B selepas menundukkan ATM 35-31 dalam aksi penuh sengit.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di babak kedua, namun kelebihan awal milik Terengganu sudah cukup memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.
Dalam satu lagi perlawanan di SSMP Gambang, Kuala Lumpur turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Pahang 41-31.
Anak buah ibu kota itu hampir dikejutkan apabila ketinggalan 7-15 pada separuh masa pertama, namun kebangkitan luar biasa di babak kedua menyaksikan mereka menamatkan saingan sebagai pasukan tempat keempat Kumpulan B.
Di Kangar, Perlis pula menutup kempen peringkat kumpulan dengan gaya meyakinkan apabila membelasah Kedah 106-3.
Kemenangan besar itu bukan sahaja mengesahkan Perlis selaku naib juara Kumpulan A, malah menghantar isyarat jelas bahawa mereka kini antara pasukan yang wajar diberi perhatian menjelang saingan suku akhir nanti.-UTUSAN