SEREMBAN: Mesyuarat pertama jawatankuasa Majlis Pendidikan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar antara kementerian, rombakan mata pelajaran umum serta pelancaran pelan pendidikan jangka panjang negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, mesyuarat itu menggabungkan dua kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kerangka bersama.
“Tujuannya adalah untuk memastikan kerajaan mempunyai dasar pendidikan menyeluruh meliputi peringkat asas hingga pendidikan tinggi.
“Mesyuarat turut menekankan keperluan penyelarasan antara kementerian lain, yang akan diwujudkan melalui kluster bagi membolehkan setiap kementerian merancang program berkaitan pendidikan.
“Sebagai contoh, Kementerian Digital kerana kepentingan teknologi kecerdasan buatan (AI) hari ini maka penyelarasan dengan kementerian pendidikan sangat penting,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Datuk Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Menurut Zambry, mesyuarat itu juga bersetuju untuk merombak semula mata pelajaran umum di universiti dengan kandungan baharu yang sedang digubal oleh dua tokoh pendidikan tinggi iaitu Prof. Datuk Dr. Osman Bakar dan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Selain itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan persiapan awal pelancaran pelan pendidikan jangka panjang negara merangkumi pelan 10 tahun oleh KPM dan pelan pendidikan tinggi oleh KPT.
“Ini kali pertama mesyuarat seumpama ini diadakan. Perdana Menteri menekankan perlunya penyelarasan lebih besar kerana beliau melihat pendidikan sangat penting dalam konteks negara, justeru penubuhan Majlis Pendidikan Negara dianggap langkah tepat,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zambry berkata KPT memberi sokongan penuh terhadap dua pensyarah yang menyertai gelombang kedua dalam misi Global Sumud Flotilla.
“Kami sentiasa beri sokongan. Rakyat Malaysia secara keseluruhan sudah menyatakan bantahan terhadap tindakan rejim Israel yang tidak mematuhi peraturan antarabangsa. Kita mendoakan keselamatan mereka dan berharap mereka berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN











