Mekanisme pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya sedang diteliti

Mekanisme pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya sedang diteliti

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mekanisme pelantikan Pendakwa Raya susulan pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini berada dalam proses penelitian oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal, sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh model pengasingan fungsi sepenuhnya antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 10 September lalu yang menetapkan kedua-dua jawatan itu dipegang oleh individu berasingan dengan kedudukan setara.

Menurutnya, model pengasingan kuasa itu dirangka berdasarkan kajian perbandingan dengan tiga negara iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom yang menggunakan sistem perundangan common law serupa Malaysia serta telah melaksanakan pelbagai bentuk pemisahan fungsi antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Berdasarkan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Peguam Negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Manakala mekanisme pelantikan Pendakwa Raya selepas pengasingan ini masih tertakluk kepada penelitian lanjut oleh Jawatankuasa Teknikal sebelum sebarang keputusan akhir dibuat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai model perbandingan yang dijadikan rujukan kerajaan serta persoalan sama ada pelantikan Peguam Negara akan melalui Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian.

Kulasegaran berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pasukan teknikal untuk meneliti cadangan pengasingan peranan ini bagi memastikan reformasi kuasa dijalankan secara menyeluruh, berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan bebas daripada sebarang campur tangan politik.

“Setelah pengasingan peranan ini dilaksanakan, Peguam Negara dan Pendakwa Raya masing-masing akan mempunyai bidang kuasa tersendiri. Proses pelantikan Pendakwa Raya akan diperhalusi dengan teliti untuk memastikan keadilan dan kebebasan dilaksanakan sepenuhnya.

“Pendakwa Raya pada masa kini yang menjalankan tugas secara berdikari dan bebas boleh dijadikan contoh model terbaik bagi sistem yang bakal kita laksanakan,” tambah beliau ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jaminan kerajaan bahawa pengasingan kuasa tidak akan dipengaruhi oleh politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN