PETALING JAYA: Malaysia menewaskan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/8 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2025 di Guwahati Assam, India, hari ini.
Dalam relay pertama, skuad muda negara tidak berdepan masalah untuk mendahului AS 1-0 dengan perseorangan perempuan, Oo Shan Zi membuka aksi menewaskan Annie Meng 9-8.
Rentak kemenangan diteruskan oleh beregu perempuan, Low Zi Yu-Noraqilah Ramdan yang mudah mengetepikan Audrey Chang-Jasmine Yeung 18-12.
Kong Wei Xiang yang menggalas beban tugas selaku perseorangan lelaki menundukkan Shriyans Ankith Bhagavatula 27-18, manakala, beregu lelaki, Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang menumpaskan Youshi Chen-Tian Qi Zhang 36-26.
Aksi set pertama itu diakhiri dengan kemenangan dicatat beregu campuran, Malaysia, Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang menyingkirkan Qi Zhang-Audrey 45-29.
Namun, dalam relay kedua, perubahan dalam barisan pemain telah menyumbang kekalahan skuad remaja negara dan sekali gus, membuka laluan kepada AS mengikat Malaysia dengan keputusan 1-1.
Perseorangan perempuan, Eng Ler Qi bermain dengan baik untuk mencipta kemenangan ke atas Alice Wang 9-5, tetapi, beregu perempuan, Zi Yu-Noraqilah secara tiba-tiba kehilangan momentum apabila tewas kepada Audrey-Jasmine 13-18.
Razeeq Danial Roslie yang diturunkan sebagai perseorangan lelaki turut kecundang di tangan Bhagavatula 23-27.
Rentak kekalahan itu diteruskan beregu lelaki Malaysia, Datu Anif Datu Asrah-Shazmir Shahrul yang tewas tipis kepada Youshi-Qi Zhang 35-36.
Mengharapkan kebangkitan menerusi beregu campuran gagal dijelmakan apabila Zhi Yang-Nicole akur kepada Arden Quan Lee-Jasmine 41-45.
Dalam set penentuan, Malaysia kembali bangkit untuk mengutip mata kemenangan apabila Shan Zi yang kembali menjadi pertaruhan negara tidak berdepan masalah menewaskan Annie 9-4.
Zi Yu-Noraqilah yang tewas mengejut dalam set kedua, bangkit dengan kemenangan ke atas Audrey-Jasmine 18-8 dan perseorangan lelaki, Wei Xiang pula mengalahkan Bhagavatula 27-15.
Beregu lelaki, Zi Heng-Zhi Yang menyingkirkan Youshi-Qi Zhang 36-17, sementara, gandingan campuran, Zhi Yang-Nicole menundukkan Arden-Jasmine 45-25.
Kejayaan tersebut bakal menemukan Malaysia dengan Taiwan bagi menentukan kedudukan ke-5/6, esok, pada kejohanan yang turut dikenali sebagai Piala Suhadinata. – UTUSAN