BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad menegaskan beliau tidak akan bersara daripada arena politik sekiranya menerima pengampunan daripada presiden negara itu berhubung perbicaraan rasuah yang dihadapinya sejak bertahun-tahun.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau merancang untuk meninggalkan kehidupan politik jika diberikan pengampunan, Netanyahu menjawab ringkas: “Tidak”.
Bulan lalu, Netanyahu memohon pengampunan daripada Presiden Isaac Herzog, dengan peguamnya berhujah bahawa keperluan menghadiri prosiding mahkamah secara kerap menjejaskan keupayaannya mentadbir negara, selain mendakwa pengampunan itu akan membawa kebaikan kepada Israel.
Di Israel, pengampunan lazimnya hanya diberikan selepas proses undang-undang selesai dan tertuduh telah disabitkan kesalahan. Tiada sebarang preseden bagi pengeluaran pengampunan ketika perbicaraan masih berjalan.
Netanyahu berulang kali menafikan sebarang salah laku terhadap tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah, manakala pasukan pembelaannya menegaskan bahawa beliau yakin prosiding itu, jika diteruskan hingga tamat akan membawa kepada pembebasan sepenuhnya.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini menulis kepada Herzog, sebelum permohonan Netanyahu dibuat menggesa presiden Israel mempertimbangkan pemberian pengampunan kepada perdana menteri tersebut.
Beberapa ahli politik pembangkang Israel berpendapat sebarang pengampunan mesti bersyarat, termasuk menuntut Netanyahu mengundurkan diri daripada dunia politik dan mengakui kesalahan.
Ada juga yang menegaskan pengampunan hanya boleh dipertimbangkan jika Netanyahu terlebih dahulu memanggil pilihan raya umum yang dijadualkan pada Oktober 2026. -AGENSI










