Maahirah Aliyyah idam jadi arkitek berjaya

Maahirah Aliyyah idam jadi arkitek berjaya

ONN Hafiz Ghazi menyampaikan hadiah kepada graduan terbaik Maahirah Aliyyah Ali sempena Majlis Konvensyen Kumpulan Pendidikan YPJ di Dewan Besar Kolej YPJ, Kota Tinggi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Minat mendalam dalam bidang seni bina menjadi pembakar semangat bagi Maahirah Aliyyah Ali, 21, sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor sempena Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) Ke-26, di sini hari ini.

Graduan Diploma Senibina yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88 dan menerima Anugerah Dekan selama lima semester berturut-turut juga bercita-cita menjadi seorang arkitek suatu hari nanti.

“Majoriti arkitek di negara ini dimonopoli golongan lelaki, namun ada juga wanita yang berjaya dalam bidang ini.

“Saya ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni bina, sekali gus memastikan cita-cita saya ini dapat dicapai,” katanya selepas majlis konvokesyen berkenaan.

Ditanya rahsia kejayaannya, Maahirah Aliyyah, anak kedua daripada lima beradik berasal dari Johor Bahru, mengakui banyak meluangkan masa belajar pada waktu tengah malam.

“Kebiasaannya pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi saya akan bangun untuk ulang kaji. Bagi saya itu waktu yang sangat baik sebab sunyi dan tenang. Selain itu, saya juga banyak belajar secara berkumpulan bersama rakan sekuliah,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah berupa wang tunai RM2,000, piala dan bar emas tiga gram  disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN