FRANKFURT: Liverpool akhirnya menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut dengan membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Pengurus Liverpool, Arne Slot turut mengambil langkah berani apabila tidak menyenaraikan Mohamed Salah dalam kesebelasan utama pada aksi itu.
Pada aksi itu, Liverpool terlebih dahulu dibolosi buat kali kelima berturut-turut apabila Rasmus Kristensen menjaringkan gol hasil serangan balas pada minit ke-26.
Kelebihan tuan rumah tidah bertahan lama, apabila bekas pemain Frankfurt, Hugo Ekitike menyamakan kedudukan pada minit ke-35, sebelum Virgil van Dijk menggandakan kedudukan empat minit kemudian.
Pertahanan Liverpool, Ibrahim Konate memastikan The Reds memasuki bilik persalinan dengan selesa apabila meledak gol ketiga untuk mengakhir babak pertama dengan 3-1.
Bersambung babak kedua, giliran Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai menambah jaringan pada minit ke-66 serta m-70, dengan dua gol terakhir dibantu oleh Florian Wirtz yang membuat penampilan semula di Jerman.
Wirtz yang belum mencatat sebarang gol atau bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara sejak perpindahan mahalnya ke Anfield, mencipta dua bantuan gol pada babak kedua untuk Gakpo dan Szoboszlai bagi memastikan kemenangan selesa.
Sementara Wirtz akhirnya mencatatkan sumbangan pertama, Alexander Isak sekali lagi dikeluarkan pada separuh masa dan digantikan dengan Federico Chiesa.
“Dia terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kerana berasa sedikit sakit di pangkal paha. Itu sesuatu yang malang.
“Ia kemenangan bermakna buat Liverpool selepas mengharungi empat kekalahan yang sukar,” kata Slot.-AGENSI