PETALING JAYA: Walaupun tidak membawa pulang pingat emas, skuad terjun negara tetap menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya meraih lima perak di Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India, baru-baru ini.
Pengarah Teknikal Terjun Malaysia, Yeoh Ken Nee berkata, pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa skuad negara masih berada pada tahap yang kompetitif di peringkat Asia.
“Ya, saya berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh. Pasukan menunjukkan prestasi yang konsisten sepanjang pertandingan.
“Walaupun kami tidak memperoleh pingat emas kali ini, lima pingat perak tetap membuktikan bahawa kami mengekalkan tahap yang kukuh di Asia,” katanya.
Katanya lagi, walaupun kejayaan tertinggi belum dicapai namun pencapaian itu tetap menjadi dorongan penting menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang seperti Sukan SEA 2025.
“Sudah tentu, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan tetapi secara keseluruhannya, saya gembira dengan usaha dan keputusan yang dicapai,” katanya.
Dalam kejohanan itu, dua perak disumbangkan Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 1 meter (m) papan anjal dan satu lagi bersama gandingannya, Elvis Priestly Clement (3m papan anjal seirama), Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold (10m platform serirama).
Bagi kategori wanita pula menyaksikan dua perak disumbangkan Nur Eilisha Rania Abrar Raj dalam acara 10m platform bergandingan bersama Nurul Farisya Alia Affendi dan satu lagi dalam acara 3m papan anjal serima bersama Ong Ker Ying.
Satu gangsa turut disumbangkan oleh atlet dari Sarawak, Nur Eilisha dalam acara platform 10m.-UTUSAN