SHAH ALAM: Ujian larian tanpa gagal (FFR) dan penyelesaian terhadap 33 isu teknikal berhubung Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di sini dilaksanakan secara intensif 24 jam tanpa henti.
Penilaian tersebut dilakukan bagi memastikan keberkesanan sistem serta keselamatan kesemua 22 tren berada dalam keadaan baik sebelum ia dinilai semula oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ketua Operasi LRT3 Laluan Shah Alam, Prasarana Malaysia Berhad, Mohd. Ariffin Idris berkata, proses tersebut dilakukan secara 24 jam yang turut melibatkan kepakaran-kepakaran teknikal berkaitan tren dan juga sistem.
“Kalau di Shah Alam dan Klang, oleh nampak tren LRT3 sentiasa bergerak berterusan untuk memastikan ia boleh beroperasi tanpa gangguan, lancar dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
“Betul, tengah malam pun kita running. Kita pastikan orang yang betul-betul pakar berkaitan tren dan sistem masing-masing dari China dan Jerman bagi mengenal pasti masalah dan penyelesaiannya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun tiada tarikh atau jangkaan LRT3 akan beroperasi dapat dinyatakan, namun satu taklimat khas akan diadakan pada Januari depan bagi memaklumkan perkembangannya.
Utusan Malaysia pada 10 Disember lalu melaporkan perkhidmatan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama, Damansara hingga ke Johan Setia, Klang tidak akan memulakan operasinya pada tahun ini.
Malah, tiada tarikh atau jangkaan lebih tepat mengenai tarikh mula operasinya apabila 18 daripada 22 set tren masih dalam ujian FFR, namun tren utamanya atau ‘Golden Train’ sudah pun melepasi pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer (km).
Jelas Mohd. Ariffin, ujian FFR dilakukan melalui proses penilaian yang ketat dan memaksa setiap tren tidak mencapai piawaian ditetapkan supaya mengulanginya semula dari peringkat awal.
“Sebagai contoh, jika sesuatu tren itu sudah melalui perjalanan 2,500 km, namun pintunya tidak terbuka apabila tiba di sebuah stesen, maka ia perlu memulakan semula ujian FFR dari awal.
“Dalam sidang akhbar tempoh hari dimaklumkan terdapat 33 isu teknikal dan penyelesaiannya dikenal pasti, namun ujian demi ujian dilakukan selepas penyelesaian dibuat untuk mengenal pasti masalah seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN










