DHAKA: Polis Bangladesh pada Ahad mendakwa individu yang terlibat dalam pembunuhan pemimpin pelajar popular, Sharif Osman Hadi telah melarikan diri ke India, satu kenyataan yang dijangka akan menambah ketegangan hubungan dengan negara jiran itu.
Hadi, seorang pengkritik lantang India yang terlibat dalam kebangkitan rakyat secara besar-besaran tahun lalu, ditembak oleh penyerang bertopeng di Dhaka awal bulan ini sebelum meninggal dunia akibat kecederaannya di sebuah hospital di Singapura.
Kematiannya mencetuskan protes ganas, dengan kumpulan penunjuk perasaan membakar beberapa bangunan termasuk dua akhbar utama yang dianggap proIndia serta sebuah institusi kebudayaan terkemuka.
Dengan demonstrasi hampir setiap hari di seluruh negara, tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan interim Bangladesh untuk menahan pembunuh Hadi, yang dijadualkan bertanding dalam pilihan raya umum pada Februari tahun depan.
“Pembunuhan ini dirancang lebih awal. Individu yang bertanggungjawab telah dikenal pasti,” kata pegawai kanan Polis Metropolitan Dhaka, SN Nazrul Islam, dalam satu sidang media.
Menurut beliau, suspek Faisal Karim Masud dan Alamgir Sheikh meninggalkan Bangladesh melalui sempadan Haluaghat ke India sejurus selepas menyerang Hadi pada 12 Disember.
Islam berkata, mereka disambut di sempadan oleh dua warga India yang mengiringi mereka ke negeri Meghalaya di timur laut India sebelum menyerahkan mereka kepada dua rakan subahat lain.
Penyiasat Bangladesh kini berhubung dengan pihak berkuasa India yang telah menahan dua individu yang disyaki bersekongkol.
“Kami sedang berkomunikasi dengan polis Meghalaya, yang telah mengesahkan penahanan dua warga India,” tambahnya.
Bagaimanapun, dua pegawai kanan polis Meghalaya enggan mengulas apabila dihubungi AFP.
Kementerian Luar India sebelum ini menyatakan bahawa New Delhi menolak naratif palsu mengenai penglibatan India dalam pembunuhan Hadi.
Hubungan antara kedua-dua negara merosot sejak bekas perdana menteri Bangladesh, Sheikh Hasina digulingkan susulan kebangkitan pro-demokrasi dan mendapatkan perlindungan di India.
India berkata ia masih mempertimbangkan permintaan Dhaka untuk mengekstradisi Hasina yang telah dijatuhi hukuman mati secara ‘in absentia’ atas tuduhan mengatur tindakan keras berdarah terhadap kebangkitan tersebut.










