KUALA LUMPUR: Kes jangkitan influenza di seluruh negara menunjukkan trend penurunan ketara sebanyak 86.1 peratus pada minggu epidemiologi ke-43 tahun ini, sekali gus menandakan situasi berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 30 wabak influenza dilaporkan pada minggu ke-43 berbanding 216 wabak pada minggu ke-41, iaitu penurunan sebanyak 86.1 peratus.
Menurutnya, kadar konsultasi bagi penyakit seperti influenza Influenza-Like-Illness (ILI) melihatkan penurunan daripada 9.68 peratus pada minggu epidemiologi ke-42 kepada 8.18 peratus pada minggu ke-43.
“Untuk kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan teruk Severe Acute Respiratory Infection (SARI), peratusan turut berkurang daripada 10.56 peratus kepada 10.45 peratus bagi tempoh yang sama, menandakan trend penurunan stabil.
“Penurunan ini membuktikan keberkesanan langkah kawalan serta kesedaran masyarakat yang semakin meningkat.
“Namun, orang ramai diingatkan supaya tidak leka kerana virus influenza masih menular dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja, terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan peralatan Centre of Excellence di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di sini, hari ini.
Dzulkefly dalam pada itu menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya mereka menunjukkan simptom seperti demam, batuk, selesema atau keletihan bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza.
“Penilaian kes jangkitan influenza di sekolah akan dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Pendidikan, manakala tindakan lanjut akan diputuskan mengikut situasi semasa di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN









