NIBONG TEBAL: Pentadbir sekolah diminta mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam melaksanakan langkah keselamatan awal bagi mengekang penularan jangkitan influenza.
Menterinya, Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, sebarang keputusan penutupan sekolah hanya akan dibuat KPM setelah semua langkah pencegahan dijalankan.
Katanya, langkah-langkah itu termasuk mengamalkan penjagaan kesihatan, keselamatan dan kebersihan di sekolah termasuk menggalakkan pemakaian pelitup muka.
“Kita ambil maklum semua itu dan memberikan peringatan kepada pentadbir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan ambil langkah keselamatan khususnya untuk mengelak penularan ini berdasarkan SOP kita.
“Kita akan ikut semua langkah-langkah tersebut dahulu sebelum kita isytihar sama ada tutup atau (PdPR) sebagainya. Ini kerana langkah-langkah itu mesti dipatuhi untuk memastikan dapat kita mengawal penularan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penularan influenza di sekolah sehingga mencetuskan kebimbangan ibu bapa.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita pada perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan (SPS) yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan KPM bagi mempertimbangkan tindakan lanjut termasuk keperluan menutup sekolah sekiranya terdapat peningkatan penularan kluster influenza.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pertimbangan itu berdasarkan kes wabak berkenaan majoritinya dikesan berlaku di sekolah dan tadika.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan budi bicara KPM.
KKM dalam kenyataan juga memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada ME 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri melaporkan peningkatan termasuk lima negeri tertinggi iaitu Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5). – UTUSAN










